Cinta

Harapan Palsu

pemberi harapan palsu

Harapan Palsu.

Kau tak nak dia, tapi setiap hari kau hamburkan kata-kata pujian. Beritahu dia selalu yang kau selesa berkawan, sangat menghargai setiap detik bersama. Dan ya, kau beritahu setiap kali berjauhan, kau akan mula merindui.

Kau tak nak dia, tapi setiap pagi, kau mulai dengan menemani dia, telefon dan mesej tanpa henti, memberitahu bahawa kau sangat memerlukan seseorang untuk menemani. Kau buat dia rasa memerlukan sekurangnya ketika dia keseorangan.

Kau tak nak pun dia, tapi kau cuba berkongsi setiap satu masalah yang kau alami bersama. Kau cuba memberitahu bahawa hanya dia seorang yang kau percaya. Seolah macam kau hanya punyai dia seorang. Dan dia sangat bermakna.

Dan pada akhirnya, kau memang tak mahukan dia, tapi tetap saja kau beri seribu satu harapan, solah-olah satu hari kelak kau akan datang untuk menemani dia selama-lamanya.

Dan hari ini. Kau pergi berjumpa dengan orang yang baru. Sedikit pun kau tidak menoleh ke belakang lagi.

Orang yang kau berikan harapan palsu ini, terhegeh-hegeh dia mencari. Tak keruan dia seharian. Menangis tiada henti. Kerana ketika kau cuba bermain harapan satu tika dulu, dia inilah yang menolak setiap satu orang yang datang dengan sopan. Semata-mata untuk kekal setia menemani.

Dan ketika kau berlalu pergi. Dia mencari jawapan. Apa salahnya. Apa yang dia dah buat. Tak, sedikit pun dia tidak mengetahui.

Dan kau bebas di situ. Berkata dengan nada sombong.

“Ini bukan masalah kau”
“Aku tak pernah beritahu pun aku suka kau”
“Kita kawan, tak lebih dari itu”

Benar. Itu yang kau rasa. Kau rasa itu bukan tanggungjawab kau untuk merawat luka sedangkan kau tidak pernah memberi.

Tapi kenapa dulu kau melayan seolah kau mahu memiliki. Bukankah urusan hati itu sangat sensitif nilainya. Dan kau tahu manusia-manusia ini fitrahnya takut keseorangan. Tiada siapa mahu keseorangan selama-lamanya.

Kau silap. Kau terlalu memberi rasa. Dulu kau mahu, kau sekadar mencuba kerana kau tidak punyai peluang lain. Tapi hari ini, bila diuji, kau lupakan begitu saja. Kau tinggalkan tanpa khabar berita.

Tuhan itu adil. Sebagaimana dia menumbuhkan rasa sayang di dalam hati,sebegitulah dia akan memberi titik kebahagiaan di dalam hati.

Dan awak. Janganlah risau. Kekal berdiri teguh di situ, menadah tangan meminta. Semoga cita-cita kecil ini, Tuhan akan kabulkan bersama dengan orang yang tersayang kelak.

Syafiq Ridhwan

Ikuti penulisan beliau disini : https://www.facebook.com/syafiqridhwan70.

Jom baca posting saya berkaitan ‘Jangan Mudah Memberi Janji’ disini : https://amirazman.my/jangan-mudah-memberi-janji.

Leave a Comment