Dulu waktu kecil, kita bila tak suka seseorang ini, senang saja kita gunakan alasan tawar hati sebagai ayat pemisah. Kononnya kita dah tak serasi, atau mungkin sebenarnya kita memang dah tak berkenan sangat dengan perangai dia. Tak teruk mana pun.
Kadang-kadang alasan yang diguna pakai tu sebab salah satu pasangan tak ada masa, salah satu pasangan itu sibuk dengan urusan sendiri sehingga tiada masa untuk diluangkan bersama. Seolah nampaknya tidak mengambil berat. Lalu, kita pun tawar hati. Tak ada rasa. Kita pun mengambil keputusan untuk berpisah secara baik. Kalau boleh. Kalau tidak, kita putuskan dengan meninggalkan tanpa penjelasan.
Hari ini, bila kau dah besar. Tawar hati ini alasan yang paling perlu kau jauhkan. Kau tak boleh sewenang-wenangnya gunakan. Kau tahu kenapa.
Sebab kau dah cukup matang untuk berfikir sebelum meluahkan. Kau dah cukup matang berfikir sebelum kau membuat satu-satu keputusan. Dan kau dah cukup matang untuk memikirkan apa kesan yang terjadi kalau satu-satu perhubungan yang kau mulakan itu berakhir sebelum waktunya tiba.
Kau tak boleh cakap bila kau dah ada pasangan, kau tawar hati sebab nampak orang yang lebih baik. Kau juga tak boleh cakap kau tawar hati sebab ada orang yang jauh lebih cantik. Dan kau tak boleh cakap kau dah tak ada rasa, bila hal-hal pertengkaran kecil yang berlaku walhal boleh sahaja ia diselesaikan.
Sebab waktu mula-mula kau menyapa, bukankah kau tahu yang cinta ini akan memerlukan komitmen yang tinggi. Hal begini memerlukan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Dan hal-hal begini, kau perlu letakkan sepenuhnya kepercayaan.
Lalu kenapa kau berubah hati bila mana kau diuji?
Senang-senang kau kata tawar hati. Kau tinggalkan orang yang dulu mahu berjuang dengan kau, semata kau rasa sinar bahagia itu sekarang ada dengan orang lain. Kau letakkan bahagia itu pada harta, pada rupa, pada pangkat. Apa tiada orang yang miskin bahagia? Atau apa tiada orang yang kaya itu meringkuk jiwanya?
Bukankah dulu kau jua yang berjanji bahawa sesusah mana sekalipun, kau akan redahi bersama-sama. Bukankah kau sendiri yang berkata begitu.
Lalu gembirakah kau untuk tersenyum di atas kesedihan orang lain?
Apa perjuangan yang kau laungkan dulu, sekadar hingga ke situ sahaja? Atau sebenarnya kau tak pernah letakkan betul-betul usaha dan komitmen sehingga pengakhirannya menjadi begitu sahaja? Cubalah fikir semula. Kau berhak memikirkan sebab kau pemulanya.
Tapi itulah, kita sekadar manusia. Sedangkan jodoh itu Tuhan telah tetapkan sejak azali lagi. Tapi kita sebagai manusia, boleh saja kita usaha dan terus usaha untuk mempertahankan. Bukan terus-menerus menyalahkan Tuhan.
Tak, bukan begitu ceritera hidup kita.
Ikuti penulisan beliau disini : https://www.facebook.com/syafiqridhwan70.
Jom baca posting saya berkaitan ‘Jangan Cepat Give UP !’ disini : https://amirazman.my/jangan-cepat-give-up.