Pada kali ini saya akan kongsikan tutorial pendaftaran direct debit PTPTN memandangkan pada pembentangan Bajet 2022 dimaklumkan manfaat insentif diskaun bayaran balik pinjaman kepada peminjam PTPTN yang diberikan bermula pada 1 November 2021 sehingga 30 April 2022. Saya pasti ramai yang berharap inisiatif ini diteruskan pada masa akan datang untuk menggalakkan pengguna untuk membuat pembayaran pinjaman PTPTN.
Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN adalah seperti berikut :
- Diskaun bayaran balik sebanyak 15% atas baki hutang untuk penyelesaian pinjaman;
- Diskaun bayaran balik sebanyak 12% untuk bayaran balik sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
- Diskaun bayaran balik sebanyak 10% untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit mengikut jadual.
Sekiranya anda merupakan seorang peminjam PTPTN yang membuat pembayaran secara konsisten tiap bulan, saya sangat menyarankan untuk anda sekurang-kurangnya melakukan potongan gaji atau direct debit mengikut jadual untuk menerima insentif diskaun bayaran balik sebanyak 10% berbanding pembayaran secara manual. Permohonan direct debit ini boleh dilakukan secara atas talian seperti dibawah :
- Pergi ke laman Direct Debit disini : https://www.ptptn.gov.my/debit-terus dan klik pada Mohon Debit TerusĀ Pinjaman.
- Kemudian, login semakan penyata PTPTN anda dan klik pada pendaftaran direct debit.
- Isi maklumat yang diperlukan dan lakukan pembayaran sebanyak RM1 untuk pendaftaran sebagai direct debit. RM1 tersebut akan dipulangkan semula ke dalam akaun pinjaman PTPTN anda.
- Dalam masa 3 hari bekerja, anda akan menerima email/SMS mengenai Direct Debit Mandate Registration daripada bank yang anda gunakan untuk membuat direct debit tersebut.
Pemotongan akan berlaku pada setiap bulan dimana pemotongan akan berlaku pada setiap 1 haribulan. Sekiranya pemotongan tidak berjaya dilakukan pada tarikh tersebut, transaksi akan dilakukan sekali lagi pada 10 haribulan dan seterusnya 27 haribulan. Jika anda sudah terlepas untuk membuat pembayaran pada bulan tersebut, anda perlu buat pembayaran menggunakan cara lain untuk mengelakkan daripada adanya tunggakan.
Anda boleh tonton video yang saya sediakan dibawah untuk lebih memahami proses pendaftaran direct debit PTPTN.
Sekiranya anda ada persoalan atau pengalaman yang ingin anda kongsikan, anda boleh kongsikan pada ruangan komen dibawah.